Thursday, October 27, 2011

Bekas NC USM dirai 'Majlis Jasamu Dikenang'

Dzulkifli Abdul Razak menaiki beca sebagai gimik Majlis Persaraan Jasamu Dikenang di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, baru-baru ini.

KOTA BHARU 26 Okt. - Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak diraikan dalam satu majlis di Kampus Kesihatan universiti itu di Kubang Kerian kelmarin.

Majlis itu diadakan sebagai menghargai sumbangan besar Dzulkifli dalam membawa USM ke mercu kejayaan selama 40 tahun berkhidmat di universiti tersebut termasuk 11 tahun sebagai Naib Canselor.

Antara kejayaan tertinggi beliau ialah mendapatkan USM status Universiti Apex sekali gus menjadikannya satu-satunya universiti di negara ini mendapat pengiktirafan tersebut.

"Saya tidak mungkin melupakan peranan yang diberikan oleh semua yang terlibat dalam mendapatkan status berkenaan sekali gus meletakkan USM di suatu tahap yang membanggakan," katanya berucap di 'Majlis Jasamu Dikenang' di sini.

Turut hadir Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed dan Pengarah Hospital USM (HUSM), Datuk Dr. Zaidun Kamari.

Dzulkifli berkata, walaupun telah berundur secara rasmi dari USM pada 27 September lalu, namun beliau tetap berhubung dengan universiti itu yang telah dianggap sebahagian daripada dirinya.

Sepanjang berkhidmat, Dzulkifli memegang beberapa jawatan penting peringkat nasional dan antarabangsa antaranya Pengarah Pengasas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Presiden Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara, Naib Presiden Pertubuhan Universiti Antarabangsa dan Ahli Lembaga Penasihat Forum Universiti Dunia di Davos, Switzerland.

Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Malaysia, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia dan Penerima Anugerah Melayu Cemerlang.

Selepas menamatkan tugas di USM, Dzulkifli dipilih menjadi Naib Canselor Universiti Antarabangsa Al-Bukhary yang ditubuhkan di Jalan Tun Razak, Alor Setar, Kedah dan berharap kerjasama USM untuk sama-sama membangun dan memajukan universiti itu.

"Saya berbesar hati menerajui universiti yang satu-satunya berkonsepkan wakaf," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments: